Cari Klinik
Close Mobile Navigation

Suara Mereka yang Berpengalaman

Ketahui kisah penuh bermakna daripada insan sebenar dan lihat cara perjalanan peribadi mereka menggambarkan kepentingan kesedaran dan perlindungan HPV.

Genevieve Sambhi merupakan seorang ibu muda apabila dia menerima berita yang meruntun hati: dia menghidapi kanser serviks. Walau bagaimanapun, dia berjaya mengatasi kanser serviks berkat pengesanan awal.

“Kalau diikutkan gaya hidup saya, tiada sesiapa sangka saya akan mendapat kanser serviks. Saya masih muda dan setia pada suami sejak berumur 20 tahun, mempunyai dua orang anak kecil, saya tidak merokok, tidak selalu minum arak dan kerap bersenam,” ujar Genevieve.“Jika boleh berlaku kepada saya, peristiwa ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.”

Selepas menjalani histerektomi radikal, iaitu pembedahan untuk membuang rahim, serviks, nodus limfa dan kawasan sekitarnya, Genevieve mendapat tahu bahawa kansernya telah merebak dan dia perlu menjalani rawatan kemoterapi dan radiasi. Doktor juga terkejut dengan keagresifan kansernya.

“Detik itu paling susah,” cerita Genevieve. “Muntah teruk, cirit-birit dan rasa pedih macam kulit saya terbakar (akibat sinaran radiasi) tak dapat digambarkan. Yang memberi saya semangat untuk mengharungi dugaan ini ialah keinginan untuk hidup bersama anak-anak saya seperti dahulu. Apabila kesihatan mengizinkan, saya berusaha untuk menghantar mereka ke sekolah dan menjaga mereka di rumah.”

Dengan anak-anak, suami, keluarga dan kawan-kawan di sisinya, Genevieve mendapat kekuatan untuk mengharungi sesi rawatan kemoterapi dan radiasi. “Saya berasal daripada keluarga yang kebanyakannya ahli perubatan, tetapi saya langsung tidak tahu apa-apa tentang kanser serviks. Jika saya tidak tahu, apatah lagi wanita lain. Tiada wanita harus mengharungi cabaran yang terpaksa saya lalui,” katanya.

Kini, Genevieve memperjuangkan pendidikan dan kesedaran tentang kanser serviks dalam kalangan wanita, remaja perempuan dan juga golongan suami, abang, bapa dan rakan-rakan. “Saya telah diberi peluang kedua dan saya rasa bertanggungjawab untuk memberitahu orang lain tentang kanser serviks dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan Pap smear dan vaksinasi HPV,” kata Genevieve.

Dalam soal kesihatan dan kesejahteraan hidup, Teri Choong sentiasa bersikap proaktif. Dia kerap bersenam dan prihatin terhadap keperluan kesihatan dirinya. Dia selalu menjalani pemeriksaan perubatan dan saringan kesihatan secara berkala.

Pada bulan Oktober 2005, Teri tiba-tiba mengalami pendarahan berlebihan dan membuat temu janji untuk berjumpa dengan pakar sakit puan. Disebabkan kitar haid yang tidak teratur, doktor mencadangkan supaya Teri melakukan biopsi serviks. Teri bersetuju dengan anggapan bahawa prosedur itu hanyalah pemeriksaan rutin.

Selepas beberapa hari, doktor menyampaikan berita buruk bahawa Teri mempunyai ketumbuhan tumor yang disahkan sebagai kanser serviks. Rawatan Teri mengambil masa lebih enam bulan dan setahun lagi untuk dia pulih sepenuhnya daripada kanser serviks. “Saya tak akan berbohong,” kata Teri. “Rawatan kanser sangat perit dan menyakitkan. Saya rasa lemah dan sakit sepanjang masa.”

Tetapi, dia tidak mahu mengalah. “Kesakitan itu sementara, kematian adalah kekal. Saya enggan berputus asa melawan kanser,” ujar Teri. “Saya mempunyai dua pilihan – sama ada saya menjadi mangsa dan membuat diri dan orang sekeliling saya lebih sengsara atau saya melawan penyakit ini dengan sedaya upaya.”

Hari ini, Teri menggalakkan semua wanita untuk berbincang dengan doktor mereka tentang cara mengurangkan risiko kanser serviks. “Pemeriksaan berkala dan vaksinasi HPV yang bersesuaian adalah sama-sama penting.Kes saya satu pengecualian kerana kanser itu tidak dikesan lebih awal, tetapi saya tetap menyarankan kepentingan Pap smear dan ujian saringan,” katanya.

“Wanita tidak perlu rasa malu untuk mengetahui lebih lanjut tentang kanser serviks. Saringan awal dan vaksinasi HPV yang bersesuaian adalah sangat penting. La boleh bantu selamatkan nyawa anda dan orang tersayang.”

Anda boleh mengambil langkah untuk bantu
melindungi diri anda hari ini.

  1. World Health Organization. Questions and answers about human papillomavirus (HPV). https://iris.who.int/bitstream/handle/10665/376263/WHO-EURO-2024-5631-49185-73415-eng.pdf?sequence=1. Published 2024. Accessed March 21, 2024.

Hak Cipta © 2025 Merck & Co., Inc., Rahway, NJ, USA dan sekutunya. Hak cipta terpelihara. MY-HPV-00092 Mar/2025